09/04/2026
KURSUS KECEKAPAN PROFESIONAL GERONTOLOGI MELABUHKAN TIRAI DENGAN JAYANYA
Kuala Terengganu, 8 April 2026 — Kursus Kecekapan Profesional dalam Gerontologi anjuran Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia dengan kerjasama Pusat Gerontologi (GRACE), Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berlangsung dari 6 hingga 8 April 2026 bertempat di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu.
Program yang bertemakan “Memperkasa Kesihatan Warga Emas melalui Penjagaan Bersepadu (ICOPE)” ini menghimpunkan pegawai dan kakitangan Bahagian Warga Emas dalam usaha memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam pengurusan kesihatan warga emas secara holistik dan bersepadu.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian telah dilaksanakan termasuk perbincangan kes, perkongsian pengalaman lapangan serta pendekatan intervensi yang praktikal dan relevan dengan keperluan semasa.
Pada hari ketiga, sesi dimulakan dengan topik Inkontinens urin dan Sokongan sosial serta sokongan penjaga yang telah disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Zaleha binti Jusoh. Sesi ini memberi penekanan kepada aspek penjagaan menyeluruh warga emas termasuk peranan keluarga dan komuniti. Program turut menampilkan pembentangan kajian kes (case study) oleh peserta, yang memberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan serta berkongsi cadangan intervensi secara lebih mendalam dan praktikal.
Suasana yang interaktif dan penuh keterbukaan jelas memperlihatkan komitmen semua pihak dalam memperkasa penjagaan warga emas, di samping mengukuhkan kerjasama antara agensi.
Kursus ini telah melabuhkan tirainya melalui Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Pn. Rosmahwati binti Ishak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Turut bersama dalam menyempurnakan majlis penutup ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Nor Farid bin Mohd Noor dan Pengerusi Pusat Gerontologi (GRACE), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Aniza binti Ab Aziz.
Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam perkhidmatan harian, demi memastikan warga emas terus disantuni dengan penuh hormat, kasih sayang dan penjagaan yang berkualiti.