09/01/2026
1. Seakrab apapun kita berteman dengan sahabat-sahabat kita, tetapi saya sedari bahawa perlahan-lahanseorang demi seorang dari mereka akan pergi, menghilang dan tiada lagi apabila kita mengejar bahagia untuk akhirat.
2. Pernah baik, selalu berjumpa, sering bersama, sama-sama berjuang, selalu berbual dan berbincang, akhirnya berpisah jua. Ya semakin kita sedari bahawa dunia ini adalah destinasi persinggahan untuk kita mencari syurga. Tetapi jalan kita tidak selamanya sama. Bukan putus silaturrahim tetapi masa yang ada bukan lagi untuk diisi dengan persahabatan kita seperti dulu. Ada banyak perkara utama yang perlu kita laksanakan untuk dibawa ke laluan yang lebih penting
3. Cuba perhatikan…
Dulu kita pernah berkawan baik dengan mereka, sekarang tidak lagi.
Dulu kita rasa dialah best friend kita, tetapi akhirnya dia yang memburukkan kita.
Dulu kita rasa dialah segalanya, kini kita bukan lagi penting untuk dia.
Dulu siang dan malam kita dengannya, kini ajak jumpapun dia bagi pelbagai alasan lagi.
Dulu selalu makan minum bersembang bersama-sama, kini ajakan kita dia tidak sudi lagi.
Dulu kita bersembang seseringnya, kini bagai menjadi orang asing.
4. Ada yang mempunyai kesibukan sendiri, tetapi ada juga yang sengaja menjauhi. Ya semua masa ada temannya, dan semua teman ada masanya. Ini semua pengalaman mahal, bukan untuk kita salahkan mereka, tetapi ini membawa kepada kita untuk muhasabah diri kita sendiri kerana kita sering meletakkan pergantungan kepada manusia lain yang sifatnya sentiasa berbolak balik hati mereka.
5. Sebab itu usah berharap apa-apa kepada manusia. Buatlah kebaikan apapun kepada manusia, tetapi tidak mengharapkan apapun daripada manusia lain. Bahkan kita sebenarnya tidak perlu terlalu banyak teman, supaya tidak terlalu banyak drama dalam hidup ini. Ada waktunya rutinnkita berubah, dan kita menerima suasana baru. Hidup ini memang suatu kumpulan perjalanan dan cerita yang unik, entah harus berjalan sendiri ataupun bersama. Tetapi tetap wajib melangkah sambil senyum mengenang semua memori yang pernah kita ciptakan.
6. Sehingga saya sedar, hanya tinggal pasanganlah yang akan terus bersama. Mungkin begitu juga kepada anda. Semakin matang usia, semakin kita mengerti bahawa tidak perlu takut kehilangan sesiapapun kecuali Allah di hati kita. Dan tidak perlu sedih kehilangan apapun kecuali iman. Ikhlaskan menerima kehilangan kerana datang dan pergi itu adalah silibusnya dunia ini yang Allah tetapkan. Pada akhirnya kita akan menghadap Allah sendirian.
Allah menyebutkan…
“Dan sesungguhnya kamu datang kepada kami sendiri-sendiri sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya dan kamu tinggalkan di belakangmu(dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu.”
(Surah Al An’am ayat 94)
7. Begitulah, akhirnya kita sendiri. Ketika masih ada pasangan, maka hargailah setiap masa dan moment dengannya. Ciptalah seberapa banyak moment yang indah serta bermakna bersamany. Suatu masa dia akan kehilangan kita atau kita yang akan kehilangannya. Siapa yang pergi dahulu, hanya Allah yang tahu.
💜💜💜
Cnp kredit to owner