26/07/2017
TIPS ARRAHNU.
Arrahnu bukan tempat menjana keuntungan. Saya berpendapat, jika ada 100 cara menjana keuntungan emas dan arrahnu adalah salah satu darinya, maka arrahnu adalah cara yang ke 100.
Arrahnu sebenarnya pembiayaan peribadi atau personal loan. Bila ia adalah loan, maka ia perlu dibayar. Upah simpan sebenarnya adalah interest.
Arrahnu juga bukan tempat simpan emas milik kita. Jika emas kita sikit, simpan sendiri di rumah lebih baik dan jimat. Jika emas kita banyak, boleh sewa safe deposit box di bank atau mana-mana syarikat safe deposit box sebab kita boleh simpan macam-macam dalam safe deposit box kita, bukan emas saja.
Jika kita memilih untuk menggadaikan emas kita di arrahnu, pastikan kita tahu apa tujuannya dan kita sudah ada rancangan dari mana datang duit untuk menebusnya.
Biasanya bagi orang berniaga, arrahnu dijadikan tempat pusingan modal. Dapat balik duit niaga dan untungnya, arrahnu dulu yang dituju untuk menebus balik emas miliknya. Tempoh arrahnu paling baik ialah yang paling pendek.
Kesilapan paling besar pemilik emas apabila menggunakan arrahnu ialah :
1. Tidak sedar bahawa ia adalah pinjaman.
2. Menyangka duit pinjaman itu adalah untung.
3. Berjoli sakan dengan duit pinjaman yang diterima.
4. Tidak tahu pun apa sebab menggunakan arrahnu.
Jadi, berhati-hati apabila menggunakan arrahnu.
Pesanan saya sangat mudah.
Ada emas, simpan. Ada duit tambah emas. Tiada duit jangan gadai emas tanpa keperluan yg terdesak.