19/03/2026
KENYATAAN MEDIA RASMI
PERTUBUHAN PERUNDING LATIHAN DAN MOTIVASI MUSLIM MALAYSIA (TAMRIN)
ISU KETIDAKTENTUAN GLOBAL & KELANGSUNGAN SUMBER PENDAPATAN JURULATIH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam inspirasi, Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) mengambil maklum kebimbangan dalam kalangan jurulatih dan motivator berhubung perkembangan konflik di Asia Barat serta potensi kesannya terhadap ekonomi global dan tempatan, Insyaa Allah. TAMRIN memahami bahawa pengalaman pandemik COVID-19 masih memberi kesan mendalam kepada ramai dalam industri ini, khususnya dari sudut ketidakstabilan sumber pendapatan, kesinambungan program latihan, dan kelansungan operasi. Sehubungan itu, TAMRIN ingin menegaskan bahawa situasi semasa tidak perlu dihadapi dengan panik, sebaliknya memerlukan ketenangan, disiplin kewangan dan tindakan strategik Insyaa Allah.
SERUAN TAMRIN KEPADA TRAINER & MOTIVATOR
1. Disiplin Kewangan
Elakkan pembaziran dan utamakan aliran tunai bagi memastikan kelangsungan operasi.
2. Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Jangan bergantung kepada satu punca. Aktifkan latihan online, modul rakaman, coaching serta kerjasama strategik.
3. Kuasai Platform Digital dan Ai
Penguasaan digital dan AI adalah keperluan, bukan lagi pilihan.
4. Kuatkan Jaringan Komuniti
Jangan bersendirian. Kekuatan sebenar ada pada jaringan dan kolaborasi. Sertai komuniti Sahabat TAMRIN (Scan Qr Code untuk menyertai Whatapps Group Sahabat TAMRIN)
5. Bertindak Berdasarkan Fakta
Elakkan panik akibat spekulasi. Rujuk sumber maklumat yang sahih.
PENDIRIAN TAMRIN
Kami ini trainer dan motivator. Peranan kami bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina kekuatan manusia ketika dunia tidak stabil. Dalam situasi mencabar, trainer dan penceramah perlu tampil sebagai:
• Pembina daya tahan masyarakat
• Penyelesai masalah
• Agen perubahan yang tenang dan strategik
• Krisis bukan alasan untuk berhenti, tetapi isyarat untuk berubah dan bangkit lebih kuat.
SERUAN KEPADA PIHAK KERAJAAN
TAMRIN turut menyeru agar pihak kerajaan tidak terlepas pandang peranan serta kelansungan komuniti trainer dan speaker dalam merangka langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa. Industri latihan dan pembangunan insan adalah komponen penting dalam membina daya tahan rakyat. Justeru, sokongan berstruktur, peluang kolaborasi, serta akses kepada inisiatif pemerkasaan perlu turut merangkumi golongan ini agar mereka terus berfungsi sebagai pemangkin kekuatan masyarakat.
PENUTUP
TAMRIN komited untuk terus menyokong ahli, membuka ruang kolaborasi dan memperkasa trainer dan penceramah dengan kemahiran masa depan. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di dunia, tetapi kita boleh mengawal tindakan kita. Tenang. Bersedia. Bertindak. Mudah-mudahan kenyataan ini memberi sedikit kelegaan dan ketenangan kepada seluruh sahabat TAMRIN. Ya Allah, kurniakan kami ketenangan dalam menghadapi ujian, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, dan rezeki yang luas serta berkat. Satukan hati kami, kuatkan langkah kami, dan jadikan kami asbab kebaikan kepada masyarakat.
Amin, ya Rabbal ‘alamin.
Sekian, terima kasih sungguh-sungguh
Yang Ikhlas,
Shamsuddin Kadir
Presiden
Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN)
2026-2028
19 Mac 2026/ 29 Ramadhan 1447 Hijrah