09/05/2024
Konsep Rezeki
Isteri pengasas Hamybon Enterprise ialah seorang anak yatim piatu. Walaupun dipinang tanpa bercinta, berita di pinang orang disambut dengan hati yang berbunga. Baginya biarlah siapa pun bakal suaminya, asalkan tidak lagi berpindah -randah antara keluarga adik-beradik meminta ehsan.
Pada masa itu pengasas bukanlah orang senang. Siapa yang mengenali mereka tahu, Hamybon Enterprise bukanlah syarikat yang dibangunkan dengan jasa pengasas semata-mata.
Isteri pengasas seorang yang disayangi adik-beradik sehinggakan ada yang melabur di dalam syarikat. Ketika waktu susah, isteri pengasas sentiasa memberikan jalan keluar kepada pengasas dengan duit yang disimpannya. Malah, lori pertama yang mulanya dibeli secara berkongsi dibeli penuh dengan duit isteri pengasas.
Semua kenalan dan cara pengasas berniaga juga diketahui isteri pengasas kerana mereka sentiasa bersama.
Di kawasan kejiranan kami, bukan sikit juga isteri yang berhenti untuk memberi laluan kerjaya kepada suami mereka. Yang ajaibnya hasilnya sangatlah memberangsangkan. Ada yang pada mula datang ke sini sedih tak dapat menukar pagar rumah, sekarang mewah dengan rezeki kenaikan pangkat dan gaji.
Bukannya menidakkan cara hidup kebanyakan orang sekarang yang memerlukan keduanya mencari rezeki. Cuma sebagai pandangan dari seorang yang dibesarkan suri rumah dan duduk dalam kejiranan yang hampir semuanya suri rumah.
10 tahun dulu, ramai juga mempersoalkan Ramadeyah Debon dengan keputusannya untuk berhenti kerja. Tapi kemudian rezeki beliau dan suaminya makin bertambah dan mereka kini bahagia dengan hidup mereka.
Setiap orang mempunyai rezeki mereka masing-masing. Seperti suri rumah, seperti anak-anak kecil, seperti orang tua yang uzur,seperti fakir miskin yang tidak dapat bekerja, rezeki mereka yang sejak azali takkan diturunkan tiba-tiba dari langit. Akan tetapi, rezeki mereka akan diturunkan melalui orang-orang yang amanah.
Suami dan bapa yang amanah akan memberi makan pakai dan nafkah yang cukup.Anak yang amanah akan memberi kepada orang tuanya walaupun sikit. Umat Islam yang amanah akan menunaikan zakat dan bersedekah. Kerana setiap rezeki yang datang bukan semuanya milik kita. Dan bahagian kita itu juga hanyalah pinjaman dariNya.