29/04/2025
Perkongsian dr Bonda Muzaimah:
Jummm para sahabat yang dimuliakan Allah..
Doa ibu tiada hijab. Jangan putus asa dalam berdoa.
Doakan Bonda dan juga kak eta ya..
Moga doa tuan puan makbul .
Aaaminnnn
YA ALLAH... BANTU AKU UTK ISTIQOMAH.
1. Seorang ibu wajib menangis di hadapan Allah demi kejayaan dan kebahagiaan anak-anaknya. Walau bagaimana sekalipun keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh anak-anak kita.
2. Ibu-ibu sekelian, bangkitlah jam 4 pagi atau 5 pagi, berjumpa Allah, merintih kepada Allah demi anak-anak kita. Seorang ibu diberi suatu darjat kemuliaan selepas para Nabi demi anak-anakmu. Kita sangat layak menangis di hadapan Allah. Serius dan bersungguh-sungguh dengan Allah ketika berdoa kepada anak-anak kita. Telah disebutkan bahawa doa ibu sangat mustajab, doa ibu tiada hijabnya, tiada penghalangnya, terus tembus ke langit, terus didengar dan dijawab oleh Allah SWT.
“Ya Allah aku datang kepadaMu demi anak-anakku”
Sebutkan nama anak-anak kita satu demi satu. Nyatakan doa kita untuk setiap seorang mengikut keperluan, keadaan, pendidikan, exam, interview, kerjaya, bisnes, jodoh atau rumahtangga anak-anak kita. Setiap seorang pasti berbeza keperluannya.
Sebutkan nama mereka bermula dengan anak pertama, doakan keadaannya, cabarannya, kariernya atau bisnesnya atau jodohnya atau perkahwinannya.
Doakan anak kedua , sebutkan namanya, keperluannya dan situasi yang dihadapinya.
Sebutkan nama anak ketiga, dan doakan untuk nya, cita-citanya, hasratnya, satu demi satu sampaikan direct kepada Allah.
Begitulah seterusnya sebutkan doa untuk anak keempat, kelima dan seterusnya.
3. Tanpa doa ibu, tanpa ibu bangun bermunajat kepada Allah, tanpa usaha ibu istiqamah bangun malam menadah tangannya ke langit, tanpa ibu menangis di hadapan Allah, rasanya agak s**ar anak-anak menjadi anak yang baik, soleh lagi solehah. Doa ibu sebahagian daripada strategi yang sangat berkesan untuk kejayaan dan kebahagiaan anak-anak kita.
4. Para ibu sekelian, cintailah keluarga kita, khususnya anak-anak kita. Darjat kemuliaan tertinggi dari Allah kepada seorang wanita yang telah berumahtangga bukanlah kelulusannya, atau kerjayanya, atau profesionalis dalam kariernya, bukan ribuan followersnya, bukan pengaruhnya di media sosial tetapi ketika seorang ibu mengoptimakan peranannya sebagai ibu dengan tugas dan tanggungjawabnya.
5. Jika sebagai anak perempuan yang belum berkahwin, optimakan tugasnya sebagai anak perempuan berkhidmat dan berbakti kepada ibu dan ayahnya.
Jika sebagai isteri, yang belum mempunyai anak, optimakan perananya dengan tugasnya sebagai seorang isteri.
Setelah mempunyai anak p**a, tingkat tertingginya bukan kerana sibuk dengan tugas dan peranannya di luar rumah, bukan aktif bersama persatuan, meeting di sana sini, sibuk dengan bisnesnya atau beraktiviti dengan teman-temannya, tetapi yang paling utama adalah menyempurnakan tugasnya dengan anak-anaknya di rumah.
6. Disebut oleh Rasulullah SAW..
“Jika ada seorang perempuan yang tidak pernah solat sunat kecuali solat fardu sahaja, tidak pernah puasa sunat kecuali Ramadhan sahaja, dia mentaati suaminya, menjaga maruah dan kehormatannya, dia menempatkan tugas di rumah sebagai tugas utamanya, maka dikatakan kepada perempuan tersebut ketika dia datang kepada Allah, maka masuklah ke syurga mengikut pintu mana saja yang dia kehendaki.”
7. Sibuk dengan pengajian di luar, cari ilmunya dan bawa balik ke rumah untuk keluarga dan anak-anak kita.
Sibuk dengan bisnes dan kerjaya di luar, tetapi jangan sampai mengabaikan anak-anak dan pasangan kita. Walau penat sekalipun, tetap bertungkus lumus menyiapkan segala tugasaan di rumah. Anak-anak tidak merasa diabaikan, pasangan tetap dapat disantuni dengan baik-baik.
8. Walau sibuk dengan meeting di sana sini, tetapi kebersihan dan kerapian rumahtangga kita tetap terpelihara. Sajian makanan air tangan kita tetap disediakan dengan baik. Masaklah, biar anak-anak kita makan dengan hidangan yang kita sediakan dengan tangan kita. Kerana makanan yang disediakan oleh ibu sangat jauh bezanya dengan hidangan di KFC, Coffee Bean, di Zus Coffee, di restoran, cafe dan hotel walau semahal apa sekalipun.
9. Jangan biarkan anak-anak kita dididik oleh karektor lain walau kita letakkan mereka di rumah pengasuh atau nursery. Berjumpa pagi hari ketika dibangunkan, dihantar ke rumah pengasuh, pergi ke sekolah dan petang diambil balik ke rumah sehingga menjadi rutin harian. Pasti tidak cukupkan. Kepenatan dengan senarai tugas yang panjang memungkinkan kita kehilangan masa yang berharga demi zuriat kita. Tetapi tiada pilihan, ibu wajib memastikan bahawa karektor utama yang akan mendidik, membelai, mengasuh dan menyayangi anak-anak adalah diri kita sendiri yang mengandung dan melahirkannya. Bukannya nursery, bukannya pengasuh, bukannya bibik, bukannya orang lain.
10. Jati diri anak-anak kita, mesti dibentuk oleh ibu ayahnya sendiri. Watak utama pendidikan adalah ibunya. Diri dan peribadi ibu mesti menjadi idola anak-anak kita. Khuatirlah jika anak-anak tidak mengidolakan ibunya dalam hidup mereka. Malahan sangat menakutkan jika artis Kpop atau influencer TikTok yang menjadi idola anak-anak kita.
11. Walau seberat manapun tugasan kita dengan urusan anak-anak, walau sebesar apapun pengorbanan kita demi kejayaan anak-anak, walau sebegitu banyak kehabisan wang demi anak-anak kita, walau sebanyak mana titisan air mata yang jatuh kerana kesabaran menghadapi perangai dan kenakalan anak-anak kita, walau sebanyak mana tugasan rumahtangga kita, walau senarai tugas kita tidak pernah ada noktahnya tetapi percayalah bahawa seorang wanita yang bergelar ibu akan dimuliakan oleh Allah dengan setinggi-tingginya ketika kembali mengadap Allah di akhirat kelak.
12. Bagi anak-anak p**a, apa saja cita-cita dan impian anda, datanglah kepada ibu, dan mintalah doa restunya, mintalah doanya untuk kita. Tak perlu ke Mekah, tak perlu jumpa Ustaz, tak perlu minta air tawar daripada orang alim, cukuplah dengan datang ke ibu, dan pastikan diri kita ada dalam hati ibu kita. Pasti akan didoakannya untuk kita.