QLP HABIN

QLP HABIN QLP (Qalbu Linguistic Programming) ialah sebuah pendekatan pembangunan diri yang berasaskan al-Quran, hadis sahih dan kajian saintifik kontemporari.

Ia dibangunkan oleh Haji Habin Faisal Mohamed dan didaftarkan secara rasmi di bawah MyIPO (LY2017004457).

23/09/2025

Kepimpinan Berprinsip Menurut Surah al-Ḥujurāt Ayat 7

Pendahuluan

Kepimpinan adalah amanah besar yang menentukan jatuh bangun sesebuah umat. Pemimpin yang benar mampu membina tamadun, manakala pemimpin yang salah arah boleh menghancurkan bangsa. Dalam Islam, asas kepimpinan bukanlah semata-mata kebijaksanaan politik, tetapi kesetiaan kepada kebenaran dan keadilan sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ.

Antara ayat yang menjadi tunjang perbincangan kepimpinan dalam al-Quran ialah firman Allah ﷻ :

Teks Ayat

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِّنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ

Terjemahan

“Dan ketahuilah olehmu bahawa Rasulullah (ﷺ) ada dalam kalangan kamu. Jika baginda menuruti kemahuan kamu dalam banyak perkara, nescaya kamu akan mendapat kesusahan; tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada iman serta memperelokannya di dalam hatimu dan menjadikan kamu benci kepada kekufuran, kefasiqan dan maksiat. Mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk (ke jalan yang benar)”.
(Surah al-Ḥujurāt: 7)



Asbāb al-Nuzūl

Ayat ini diturunkan kerana sebahagian sahabat memberikan pandangan mereka kepada Rasulullah ﷺ dalam beberapa urusan seperti zakat, tawanan perang, dan pembahagian harta. Ada yang berkeras mahukan pandangan mereka diterima. Maka Allah ﷻ menegaskan bahawa sekiranya Rasulullah ﷺ menuruti semua kehendak mereka, ia akan membawa kesusahan. Baginda dipandu wahyu, sedangkan mereka dipandu oleh akal dan hawa nafsu yang terbatas.



Prinsip Kepimpinan dalam Ayat Ini

1. Pemimpin tidak boleh tunduk kepada desakan massa

“Jika baginda menuruti kamu dalam banyak perkara, nescaya kamu akan mendapat kesusahan”.

Seorang pemimpin sejati bukanlah pengikut kehendak orang ramai. Dalam banyak keadaan, kehendak majoriti tidak semestinya betul. Pemimpin yang hanya mahu popular akan terperangkap dengan politik populis, yang akhirnya merosakkan negara dan masyarakat. Rasulullah ﷺ menjadi contoh bagaimana seorang pemimpin harus teguh berpegang kepada prinsip meskipun berhadapan dengan desakan.



2. Kepimpinan berasaskan wahyu dan prinsip kebenaran

Rasulullah ﷺ tidak membuat keputusan semata-mata atas pertimbangan politik atau sentimen. Baginda menilai berdasarkan wahyu dan keadilan. Ini menunjukkan kepimpinan dalam Islam harus berpandukan syariat dan prinsip moral yang kukuh, bukan sekadar strategi duniawi.



3. Membina hati rakyat dengan iman dan akhlak

“Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada iman serta memperelokannya di dalam hatimu, dan menjadikan kamu benci kepada kekufuran, kefasiqan dan maksiat”.

Kepimpinan yang benar bukan sahaja melahirkan polisi dan undang-undang yang baik, bahkan membentuk hati rakyat agar mencintai iman dan membenci kemungkaran. Ini asas penting kerana masyarakat yang sihat lahir daripada jiwa yang bersih, bukan sekadar sistem yang canggih.



4. Kepimpinan menuju rushd (petunjuk dan kematangan)

“Mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Kepimpinan yang berasaskan iman, prinsip, dan akhlak akan melahirkan masyarakat rashid — iaitu masyarakat matang, beradab, dan selamat. Inilah tujuan akhir kepimpinan Islam : membimbing manusia ke jalan benar, bukan sekadar memuaskan kehendak sesaat.



Aplikasi dalam Konteks Semasa
01. Pemimpin populis vs pemimpin berprinsip
• Pemimpin populis mengikut kehendak ramai demi undi.
• Pemimpin berprinsip menilai kesan jangka panjang, walaupun keputusan tidak popular.
02. Politik moden dan cabaran majoriti
• Demokrasi sering menekankan suara majoriti. Tetapi Islam mengingatkan: majoriti boleh silap, yang benar tetap benar walaupun kecil bilangannya.
03. Pembangunan negara dengan akhlak
• Ekonomi, teknologi, dan kemajuan fizikal penting, tetapi jika rakyat tidak dibina dengan iman dan akhlak, hasilnya hanyalah kemusnahan moral.



Kesimpulan

Surah al-Ḥujurāt ayat 7 adalah panduan abadi tentang kepimpinan. Pemimpin Islam mesti berprinsip, berpandukan kebenaran, dan membina masyarakat berasaskan iman serta akhlak. Rakyat pula perlu menyokong pemimpin yang membawa kepada rushd, bukan pemimpin yang menuruti hawa nafsu mereka.

Inilah rahsia kejayaan Rasulullah ﷺ sebagai pemimpin agung, yang melahirkan generasi sahabat terbaik dan membina sebuah tamadun Islam yang unggul.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia

06/09/2025

KEPIMPINAN & TANGGUNGJAWAB?!

01. Seorang pemimpin yang baik memang ditunggu rakyat. Banyak membantu, turun padang, rajin bersama masyarakat – itu semua baik.

02. Namun, kalau sekadar rajin menolong, ramai juga NGO dan individu yang melakukannya dengan lebih konsisten, tanpa pangkat dan gelaran.

03. Bezanya seorang wakil rakyat ialah amanahnya. Apa yang ditulis, dikata, dan diputuskan – membawa kesan kepada masyarakat. Setiap kenyataan bukan sekadar pandangan peribadi, tetapi dianggap pendirian rasmi yang boleh membentuk persepsi umum.

04. Kalau tersalah langkah, jangan pula menyalahkan orang lain. Islam mengajar tabayyun (menyemak kebenaran), bukannya “tibaiyun” (main hentam dulu). Seorang pemimpin tidak boleh gopoh. Kata-kata mereka bukan sembarangan – ia membentuk naratif, malah boleh membakar sentimen.

05. Kerja seorang wakil rakyat bukan sekadar hadir kenduri atau menziarah kematian. Itu hanyalah nilai tambah. Hakikatnya, tanggungjawab utama ialah membahaskan isu ekonomi, menyemak dasar kerajaan, menggubal polisi yang lebih baik, serta menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran.

06. Kalau semak fakta pun gagal, bagaimana masyarakat mahu percaya bahawa wakil tersebut mampu menyemak polisi dan kertas dasar yang jauh lebih kompleks?

07. Pemimpin mesti faham, peranan mereka adalah policy, bukan charity. Kebajikan itu baik, tetapi asasnya tetap pada hala tuju dasar.

08. Rakyat pula jangan mudah terpesona hanya kerana seseorang pemimpin rajin turun padang. Kita mesti angkat standard penilaian kita. Nilai seorang pemimpin bukan terletak pada jumlah kenduri yang dia hadir, tetapi pada keupayaan memimpin dengan dasar, hujah dan integriti.

09. Sifat pemimpin agung sepanjang zaman, Rasulullah SAW, ialah SAFT :
• Siddiq (benar)
• Amanah (dipercayai)
• Fathonah (bijaksana)
• Tabligh (menyampaikan dengan jelas)

10. Itu kayu ukur sebenar. Bukan retorik, bukan persepsi, bukan populariti.



11. Kesimpulan :
Kalau benar mahu dihormati rakyat, pemimpin mesti jujur memikul tanggungjawab. Kalau silap, akui dengan rendah hati. Kalau berjanji, laksanakan dengan bijaksana. Jangan sekadar main wayang. Rakyat semakin celik dan setiap kesilapan akan diingat.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
06 September 2025
13 Rabiul Awal 1447H

05/09/2025

Pengajaran Sempena Maulidur Rasul 1447H

01. Maulidur Rasul adalah hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ pada 12 Rabiulawal. Ia bukan sekadar perayaan sejarah, tetapi lebih penting sebagai momen muhasabah — menilai sejauh mana kita menghidupkan ajaran Baginda ﷺ dalam kehidupan seharian.

02. Allah ﷻ berfirman dalam al-Quran :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzab: 21).

03. Ayat ini menegaskan bahawa kelahiran Nabi ﷺ bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi rahmat dan petunjuk yang mesti diikuti sepanjang zaman.



Maulidur Rasul : Menghidupkan Cinta kepada Baginda ﷺ

04. Cinta kepada Rasulullah ﷺ adalah tanda keimanan. Sabda Baginda :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ، وَوَلَدِهِ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintai daripada ibu bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

05. Cinta ini bukan hanya pada ucapan, tetapi dibuktikan dengan amalan: mengikuti sunnah, memperbanyakkan selawat, dan mempertahankan ajaran Islam.



Rahmat Nabi ﷺ: Membawa Ketenangan dan Kasih Sayang

06. Allah ﷻ menegaskan peranan Nabi ﷺ :

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam” (Surah al-Anbiya’: 107).

07. Rahmat ini tergambar dalam akhlak Baginda ﷺ :
• Memaafkan musuh walau disakiti.
• Menyayangi fakir miskin, anak yatim, dan golongan lemah.
• Memimpin dengan hikmah, bukan kekerasan.



Pengajaran Akhlak Rasulullah ﷺ dalam Kehidupan

08. Antara akhlak Rasulullah ﷺ yang wajar dijadikan pedoman pada zaman ini :
1. Kejujuran – digelar al-Amin kerana amanah dan benar.
2. Kesederhanaan – hidup sederhana walau berkuasa.
3. Keadilan – tidak membezakan sahabat berdasarkan kedudukan atau harta.
4. Komunikasi penuh hikmah – menyampaikan kebenaran dengan bahasa yang menyentuh hati.

09. Dalam suasana masyarakat moden yang berdepan krisis nilai, mencontohi akhlak ini menjadi solusi terbaik untuk membina peribadi dan negara berintegriti.



Amalan Sempena Maulidur Rasul 1447H

10. Antara amalan yang boleh dihidupkan :
• Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi ﷺ.
• Membaca dan memahami sirah Nabawiyyah.
• Mengamalkan sunnah kecil seperti senyum, memberi salam, menjaga kebersihan, dan ringan tangan membantu orang lain.
• Menggunakan Maulidur Rasul sebagai platform ukhuwah dan penyatuan umat.



Kesimpulan

11. Maulidur Rasul 1447H mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah cahaya yang membimbing manusia daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam. Mengingati Baginda bukan sekadar dengan perarakan atau sambutan, tetapi dengan menghidupkan sunnah, menzahirkan akhlak mulia, serta menyebarkan rahmat dan kasih sayang.

12. Semoga kita menjadi umat yang benar-benar mencintai Rasulullah ﷺ, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan amal perbuatan.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
05 September 2025
12 Rabiual Awal 1447H

04/09/2025

Kebahagiaan bukan datang dari luar, tapi cara anda mentafsir hidup

01. Ramai manusia mengejar kebahagiaan dengan mencari faktor luaran — harta, pangkat, pasangan atau suasana hidup yang sempurna.

02. Namun kebahagiaan itu bukan hasil dari apa yang masuk ke dalam hidup kita, tetapi bagaimana jantung mentafsir apa yang berlaku.

03. Dua orang boleh berada dalam keadaan yang sama, tetapi rasa yang lahir sangat berbeza.
• Orang yang diuji kesempitan rezeki, bila jantungnya mentafsir sebagai peluang untuk sabar dan mendekatkan diri kepada Allah, dia tetap tenang.
• Orang yang hidup mewah, bila jantungnya mentafsir bahawa harta tidak pernah cukup, dia tetap resah dan gelisah.



04. Kenapa kebahagiaan bergantung pada tafsiran jantung?

05. Jantung sebagai pusat rasa dan keputusan
Allah berfirman :
أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا
“Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai jantung (qalbu) yang dengannya mereka dapat memahami…” (Surah al-Hajj: 46)

06. Ayat ini menegaskan bahawa jantung yang berfungsi betul mampu memahami, menilai dan mentafsir kehidupan.

Dunia ini penuh kekurangan
07. Jika tafsiran jantung bergantung sepenuhnya kepada keadaan luar, kebahagiaan tidak akan pernah tercapai. Dunia tidak mungkin memenuhi semua kehendak. Yang membahagiakan ialah cara jantung menerima, menimbang, dan memberi makna.

08. Tafsiran jantung membentuk emosi
• Tafsiran positif → melahirkan syukur, sabar, reda.
• Tafsiran negatif → melahirkan marah, kecewa, dengki.

09. Contoh mudah: jika seseorang memarahi kita, jantung yang sihat akan mentafsir “ini ujian untuk sabar”. Tetapi jantung yang lemah akan mentafsir “ini penghinaan besar” lalu menimbulkan resah.



10. Bagaimana mentafsir hidup dengan jantung yang membahagiakan?

Gunakan deria sebagai input yang bersih
11. Telinga, mata, dan perasaan adalah jalan masuk ke jantung. Jaga apa yang kita dengar, lihat, dan rasa supaya tafsiran jantung tidak dikelirukan oleh maklumat palsu.

Latih syukur dan sabar
12. Dua tafsiran utama yang menjadikan jantung stabil ialah syukur pada nikmat dan sabar pada musibah.

Letakkan Allah sebagai rujukan tafsiran
13. Bila jantung menilai segala perkara berdasarkan Allah — rezeki, ujian, jodoh, ajal — maka ia menjadi lapang.



Kesimpulan

14. Kebahagiaan tidak datang daripada dunia luar, tetapi daripada jantung yang mentafsir hidup dengan panduan iman. Apabila jantung tenang, barulah seluruh diri menjadi tenang walau apa pun keadaan yang melanda.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
04 September 2025
11 Rabiul Awal 1447H

03/09/2025

Alasan yang Menipu Hati

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله…

01. Manusia ini sifatnya suka mencari alasan untuk menjustifikasikan apa yang dia buat.

02. Walaupun salah, dia akan reka sebab — supaya hatinya rasa betul, supaya dia boleh tidur lena malam itu.

03. Tapi, ketahuilah… itu hanyalah ketenangan palsu.

04. Kadang-kadang kita kata, “Saya buat begini sebab terpaksa…”, “Saya tiada pilihan…”, atau “Ini untuk kebaikan semua…” — padahal kita tahu jauh di sudut hati, ia salah.

05. Mengapa? Sebab kita mahu sedapkan hati. Supaya rasa bersalah itu reda.

06. Allah telah pun ingatkan kita dalam al-Quran :

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
“Bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj : 46).

07. Bila hati buta, kita akan rasa diri betul walaupun salah. Kita akan nampak dosa seakan pahala, keburukan seakan kebaikan.

08. Itulah kerja syaitan — memperindahkan keburukan agar kita terus leka.

09. Sedangkan ketenangan sebenar bukan pada alasan. Ia hanya ada pada kebenaran, hanya ada bila hati kembali kepada Allah.

10. Firman-Nya :

أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang” (ar-Ra‘d: 28).

11. Maka marilah kita renung diri. Jangan kita pujuk hati dengan alasan palsu, kerana ia hanya menenangkan kita di dunia, tapi tidak menyelamatkan kita di akhirat.

12. Lebih baik kita berani mengaku salah, kembali bertaubat dan tunduk pada kebenaran.

13. Kerana tenang itu bukan pada alasan,
Tetapi pada Allah yang menggenggam hati kita.

والله أعلم.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
03 September 2025
10 Rabiul Awwal 1447H

02/09/2025

Manusia dan Alasan Tindakannya

Fenomena :
Manusia sering mencari alasan untuk menjustifikasikan tindakannya, walaupun salah. Alasan itu direka agar diri terasa betul, rasa bersalah berkurang dan mampu tidur lena.

Sebab-sebab :
01. Mekanisme Pertahanan Diri – alasan dicipta untuk menutup kesalahan.
02. Cognitive Dissonance – meredakan konflik antara nilai dan tindakan.
03. Menjaga Imej Diri – agar masih kelihatan baik di mata sendiri dan orang lain.
04. Bisikan Nafsu & Syaitan – keburukan dihias indah seolah-olah kebaikan.

Implikasi :
• Memberi ketenangan palsu, bukan hakiki.
• Menjadikan qalbu buta daripada kebenaran :
“Bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (al-Hajj: 46)

🔹 Kunci Penyelesaian :
Ketenangan sejati tidak datang dari alasan, tetapi dari kebenaran dan zikrullah :

“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang” (ar-Ra‘d: 28).



Kesimpulan :
Alasan hanya menenangkan diri secara palsu. Jalan sebenar adalah keberanian mengakui kesalahan, bertaubat, dan menghubungkan qalbu dengan zikrullah agar jiwa mencapai ketenangan hakiki.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
02 September 2025
09 Rabiul Awwal 1447H

01/09/2025

Pengajaran dari Indonesia untuk Malaysia : Menjaga Kepercayaan Rakyat di Era Politik Rapuh

01. Kemarahan rakyat tercetus bila jurang elit–rakyat terlalu jauh
Di Indonesia, elit politik dilihat hidup berlebihan. Ini jadi bahan bakar kemarahan.
➝ Malaysia : walaupun pemimpin utama kini menampilkan gaya hidup sederhana dan prihatin rakyat, bahaya tetap ada jika ada segelintir pemimpin lain masih mengekalkan budaya pamer kekayaan.

02. Institusi mesti bebas dari imej “kartel elit”
DPR Indonesia sudah digelar “dewan perompak”. Itu tanda rakyat hilang kepercayaan pada institusi.
➝ Malaysia : usaha SPRM, reformasi institusi dan ketelusan parlimen sangat penting untuk kekal dipercayai. Jika tidak, rakyat akan melihatnya sama saja – “elit jaga elit”.

03. Rakyat hari ini lebih kritikal dan tidak takut bersuara
Demonstrasi di Indonesia bukan sekadar protes politik, tetapi ekspresi kemarahan sosial. Generasi muda berani turun tanpa kepentingan parti.
➝ Malaysia : generasi muda (Muda, Undi18, pengundi baru) juga sudah berfikir kritikal. Jika mereka rasa dipermain, protes sosial boleh meletus tanpa kawalan parti politik.

04. Demokrasi mesti diisi dengan keadilan sosial, bukan sekadar pilihan raya
Indonesia membuktikan : pilihan raya tidak cukup menenangkan rakyat jika keadilan ekonomi dan sosial tidak wujud.
➝ Malaysia : agenda menoktahkan kemiskinan, memastikan kos sara hidup terkawal, dan peluang sama rata adalah kunci agar demokrasi kita tidak tinggal ritual kosong.

05. Pemimpin sederhana adalah benteng terakhir kepercayaan
Prabowo cuba tonjol prihatin, tapi imejnya terhakis oleh latar elit dan kontroversi masa lalu.
➝ Malaysia : kelebihan besar kita ialah Perdana Menteri sendiri menonjolkan kesederhanaan, menolak kemewahan, dan lantang menentang rasuah. Inilah yang membezakan Malaysia dari apa yang berlaku di Jakarta. Tetapi, ia mesti dijaga dengan konsisten – bukan hanya oleh PM, tetapi oleh keseluruhan kabinet dan elit politik.



Kesimpulan

Apa yang berlaku di Indonesia adalah peringatan keras. Malaysia kini berada di jalan yang betul – dengan kepimpinan sederhana, fokus kepada rakyat susah dan perang terhadap rasuah. Tetapi, bahaya tetap ada : jika ada segelintir elit politik Malaysia yang kembali pada budaya pamer kuasa dan pamer kekayaan, maka api yang sama boleh menyala.

Pengajaran terbesar :
➡ Pemimpin mesti bukan sekadar bercakap tentang rakyat, tetapi hidup bersama rakyat.
➡ Rakyat hari ini lebih berani menilai dengan mata sendiri – imej, tindakan, dan gaya hidup elit politik tidak lagi boleh disembunyikan.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
01 September 2025
08 Rabiul Awwal 1447H

31/08/2025

Kemerdekaan Sebenar Menurut Islam

01. Setiap kali 31 Ogos tiba, kita menyaksikan bendera dikibarkan, lagu patriotik bergema dan laungan “Merdeka!” mengisi udara. Kita diingatkan bahawa 31 Ogos 1957 adalah tarikh bersejarah negara bebas daripada cengkaman penjajah. Namun, persoalan yang perlu kita renungkan ialah : Adakah kita benar-benar telah merdeka?

02. Merdeka yang hakiki menurut Islam tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi lebih mendalam — ia adalah pembebasan manusia daripada perhambaan sesama manusia untuk tunduk hanya kepada Allah.



❖ Merdeka Daripada Penjajahan Jiwa

03. Islam mengajar bahawa kebebasan sejati bermula dari dalam hati. Rasulullah ﷺ telah mengubah bangsa Arab jahiliah daripada diperhamba oleh nafsu, adat songsang dan penguasa zalim, kepada umat yang tunduk hanya kepada Allah.

04. Allah berfirman :
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا
“Katakanlah (wahai Muhammad), wahai manusia sekalian, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua…”.
(Surah al-A‘raf: 158)

05. Ayat ini menunjukkan misi Rasulullah ﷺ adalah membebaskan manusia daripada belenggu kekuasaan manusia, bangsa atau ideologi sempit, menuju ketaatan kepada Allah yang Maha Esa.



❖ Bahaya Penjajahan Bentuk Baru

06. Sejarah membuktikan bahawa walaupun penjajahan fizikal telah berakhir, penjajahan bentuk baru terus menghantui umat. Penjajahan ini lebih halus — penjajahan minda, budaya, ekonomi dan agama.

07. Hari ini, ada yang memenjarakan fikiran rakyat dengan naratif sempit bahawa agama milik kelompok tertentu. Ada yang memecah-belahkan masyarakat dengan politik kebencian, menjadikan agama sebagai modal undi.

08. Ini bukan kemerdekaan. Ini adalah bentuk perhambaan baru — apabila manusia tunduk kepada slogan dan tokoh, bukan kepada kebenaran dan prinsip Islam.



❖ Kemerdekaan Dalam Sejarah Islam

09. Ketika Rasulullah ﷺ memimpin Madinah, Baginda memerdekakan masyarakat daripada diskriminasi kabilah dan agama. Piagam Madinah membuktikan bahawa kemerdekaan dalam Islam adalah hak semua, bukan hanya umat Islam, asalkan mereka hidup di bawah keadilan Islam.

10. Inilah konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin, sebagaimana firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam”.
(Surah al-Anbiya’: 107)

11. Kemerdekaan yang sejati membebaskan manusia daripada ketidakadilan, penindasan dan kebencian, menuju keamanan, keadilan dan kasih sayang.



❖ Kemerdekaan yang Hilang

12. Ironinya, ada negara yang merdeka secara politik tetapi tetap mundur kerana rakyatnya tidak merdeka secara jiwa. Mereka masih dijajah oleh rasuah, fitnah, dendam politik dan penyalahgunaan agama.

13. Rasulullah ﷺ pernah bersabda :
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ العَرَضِ، وَلَكِنَّ الغِنَى غِنَى النَّفْسِ
“Kaya itu bukanlah banyaknya harta benda, tetapi kaya itu adalah kaya jiwa”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

14. Begitulah kemerdekaan — ia bukan sekadar bebas dari kuasa asing, tetapi bebas dari perhambaan hawa nafsu.



❖ Jalan Kembali kepada Kemerdekaan Hakiki

15. Untuk mencapai kemerdekaan sebenar menurut Islam, umat perlu :
01. Merdekakan akal daripada propaganda, kepalsuan dan kejahilan.
02. Merdekakan hati daripada penyakit hasad, taksub dan kebencian.
03. Merdekakan agama daripada menjadi alat perebutan kuasa.
04. Menegakkan keadilan untuk semua, tanpa mengira bangsa atau parti.



❖ Merdeka Jiwa, Merdeka Negara

16. Merdeka sebenar adalah apabila rakyat bebas berfikir, bersuara dan hidup di bawah keadilan Islam tanpa takut dilabel atau ditindas.

17. Selagi ada yang memperdagangkan agama demi kuasa, selagi rakyat ditakut-takutkan dengan label sesat atau kafir kerana berbeza pandangan, selagi itu kita belum benar-benar merdeka.

18. Kemerdekaan menurut Islam adalah kembali kepada asas tauhid :
Tidak tunduk kepada sesiapa melainkan Allah, dan menegakkan rahmat untuk semua manusia.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
31 Ogos 2025
07 Rabiul Awwal 1447H

RUU URA : Antara Fakta, Nostalgia dan Manipulasi Sentimen01. Nostalgia Kampung Melayu di Kuala LumpurTidak dinafikan bah...
30/08/2025

RUU URA : Antara Fakta, Nostalgia dan Manipulasi Sentimen

01. Nostalgia Kampung Melayu di Kuala Lumpur

Tidak dinafikan bahawa sejak 1980-an hingga awal 2000-an, banyak kampung tradisi Melayu di sekitar Kuala Lumpur telah berubah wajah. Nama-nama seperti Kg Abdullah Hukum, Kg Kerinchi, Kg Segambut, Kg Puah, Kg Chubadak, Kg Cendana dan lain-lain, kini sebahagiannya telah menjadi kawasan komersial moden seperti Mid Valley, Bangsar South, Mont Kiara, Sentul East dan sebagainya.

Perubahan ini adalah sebahagian daripada proses urbanisasi dan pembangunan bandar yang pesat, berpunca daripada dasar kerajaan persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan penglibatan pemaju swasta. Ia berlaku sejak lebih 30 tahun lalu — jauh sebelum kewujudan RUU URA (Urban Renewal Authority Bill) yang baru dibentangkan pada 2025.



02. Fakta Tentang RUU URA

RUU URA tidak bertujuan untuk menghapus kampung Melayu atau menindas mana-mana kaum. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai :
1. Kerangka Undang-Undang Pembangunan Semula – memastikan pembangunan semula kawasan lama berlaku dengan terancang, telus dan tidak sewenang-wenangnya oleh pemaju.

2. Pelindung Hak Pemilik Asal – memberi mekanisme pampasan dan penempatan semula yang lebih adil berbanding kaedah lama yang sering merugikan penduduk kampung.

3. Mengelakkan Projek Terbengkalai – banyak projek pembangunan bandar terdahulu gagal atau terbengkalai kerana tiada undang-undang induk yang mengikat pemaju.

4. Mewujudkan Bandar Seimbang – pembangunan tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi juga melibatkan aspek sosial, warisan dan komuniti.

Ringkasnya, RUU URA hadir untuk memperbaiki kelemahan sistem lama, bukan mengulangi kesilapan yang menyebabkan kampung Melayu hilang tanpa pampasan setimpal.



03. Manipulasi Sentimen : “Kampung Melayu Musnah, Kampung Cina Kekal”

Posting yang cuba mengaitkan isu kampung Melayu hilang dengan RUU URA adalah manipulasi fakta bercampur sentimen perkauman.
• Memang benar, kawasan seperti Kg Baru Sungai Way atau beberapa kampung Cina lain masih kekal. Tetapi sebabnya bukan kerana ada diskriminasi, melainkan kerana nilai komersial tanah dan lokasi.
• Kampung Melayu yang terletak di lokasi strategik bandar (contoh: KL Sentral, Mid Valley, Bangsar South) lebih cepat menjadi sasaran pembangunan kerana nilai ekonominya sangat tinggi.
• Sebaliknya, kampung bukan Melayu di lokasi kurang strategik tidak diberi tekanan pembangunan yang sama. Isu ini soal ekonomi, bukan kaum.



04. Mengapa Naratif Ini Berbahaya

Naratif seperti dalam posting tersebut cuba :
• Memainkan emosi nostalgia (kampung Melayu hilang, kenangan bersama pupus).
• Membakar sentimen perkauman (kampung Melayu lenyap, kampung Cina kekal).
• Memfitnah dasar baharu (kononnya RUU URA adalah “alat baru” untuk menghapuskan kampung Melayu).

Hakikatnya, kampung Melayu sudah lama terkesan akibat pembangunan tanpa undang-undang khusus. RUU URA boleh menjadi benteng baharu untuk melindungi komuniti Melayu bandar, asalkan ia dilaksanakan dengan betul, telus dan disertai mekanisme pampasan yang adil.



05. Kesimpulan : Fakta Lawan Emosi
• Kampung Melayu hilang = kerana pembangunan lama, bukan RUU URA.
• RUU URA wujud = untuk memperbaiki keadaan, bukan mengulanginya.
• Isu ini bukan kaum = ia isu urbanisasi dan ekonomi bandar.
• Naratif perkauman = hanya akan melemahkan kedudukan orang Melayu bandar kerana kita menolak instrumen undang-undang yang sebenarnya boleh jadi pelindung.

Maka, apa yang perlu dibuat ialah memperjuangkan pelaksanaan RUU URA agar benar-benar adil kepada semua, bukan menolaknya atas sentimen yang dibina daripada fakta songsang.



👉 Dengan penjelasan ini, jelaslah bahawa orang yang cuba mengaitkan “kampung Melayu hilang” dengan RUU URA sedang menipu fakta untuk menghasut emosi.

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia
30 Ogos 2025
06 R. Awal 1447H

29/08/2025

Waktu mustajab doa pada hari Jumaat adalah antara perkara yang banyak dibincangkan oleh para ulama berdasarkan hadis-hadis sahih. Nabi ﷺ bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: “إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ لَسَاعَةً، لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ”
رواه البخاري ومسلم

Maksudnya :
“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat, tidaklah seorang hamba Muslim bertepatan dengannya dalam keadaan dia berdiri berdoa kepada Allah memohon sesuatu kebaikan, melainkan Allah pasti akan memberikannya”.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Perbezaan pandangan ulama tentang “saat mustajab” itu :
01. Antara khutbah hingga selesai solat Jumaat
– Berdasarkan hadis riwayat Abu Musa al-Ash‘ari RA, bahawa saat itu ialah ketika imam duduk di mimbar sehingga selesai solat.
– Hadis :
قَالَ هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلاَةُ
(Riwayat Muslim)

02. Waktu terakhir selepas Asar hingga terbenam matahari
– Berdasarkan hadis riwayat Jabir RA bahawa Nabi ﷺ bersabda :
فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ
(Riwayat Abu Dawud, al-Nasa’i)
– Ramai ulama besar seperti Imam Ahmad, Ibn Qayyim, dan al-Nawawi cenderung kepada pandangan ini.



Kesimpulan

Waktu doa paling mustajab pada hari Jumaat ada dua pendapat utama yang paling kuat:
01. Ketika imam duduk di mimbar hingga selesai solat Jumaat.
02. Waktu terakhir selepas Asar hingga sebelum Maghrib.

Ramai ulama menegaskan bahawa waktu selepas Asar sehingga hampir Maghrib adalah yang paling kuat, kerana ia lebih sesuai dengan banyak riwayat sahih.

👉 Jadi, sebaiknya kita perbanyakkan doa sepanjang hari Jumaat, terutamanya :
• Ketika khutbah dan selepas solat Jumaat.
• Di penghujung hari Jumaat (selepas Asar hingga Maghrib).

HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia

Address

Kuala Lumpur

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when QLP HABIN posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to QLP HABIN:

Share